Perkongsian abang Wan Masitah Wan Ismail di laman sosial Facebook.


TUMPAT – Seorang ibu melahirkan rasa syukur apabila anaknya yang hilang selama enam jam ditemui selamat meski pun kehilangannya penuh misteri.
Difahamkan anak gadisnya itu berjalan dalam keadaan separa sedar ke tanah perkuburan di belakang rumahnya di Kampung Kutan Hilir.
Wan Masitah Wan Ismail, 14, dari sebuah sekolah agama di daerah ini ditemui oleh ayahnya, Wan Ismail Wan Ahmad, 58, pada jam 8.30 pagi selepas melaungkan azan di kawasan tanah perkuburan lama itu.
Ibunya, Mastura Abdullah, 51, berkata, selepas dilaungkan azan suaminya ternampak kelibat anaknya berdiri di bawah rimbunan pokok buluh di tepi tanah perkuburan itu yang dikelilingi semak.
“Dia terus pegang Wan Masitah untuk dibawa pulang ke rumah, ketika dalam perjalanan pulang anak saya itu pengsan kerana keletihan.
“Tetapi alhamdullilah dia dah beransur pulih sekarang ini,” katanya.
Menurutnya, dia menyedari Wan Masitah hilang pada jam 2.30 pagi apabila salah seorang anaknya, Norazlin, 22 mendengar pintu dibuka.
Katanya, anaknya itu terus mengejutkan dia dan ahli keluarga yang lain untuk mencari Wan Masitah kerana menyangka dia diculik.
“Kami terus mencari ke jalan utama dengan harapan dapat menemui dia tetapi tidak jumpa.
“Selepas subuh suami saya adakan solat hajat dan selepas itu tergerak hati untuk mencari di belakang rumah yang bersemak dan pencarian itu hingga kawasan tanah perkuburan kira-kira 50 meter dari rumah,” katanya.
Menurutnya, Wan Masitah ditemui selamat dan bila ditanya dia tidak menyedari bagaimana dia boleh berjalan sejauh itu sehingga masuk di kawasan tanah perkuburan dan kemudiannya berteduh di bawah pokok buluh itu.