loading...
Kasihanilah Bayi Anda. Inilah KESAN BURUK Terhadap Bayi Jika Bawa Anak Keluar Hingga Lewat Malam Yang Ramai Ibu Bapa TAK TAHU !!! | Jarum jam menunjukkan hampir 12.30 tengah malam. Keadaan hingar-bingar sekitar Jalan Tuanku Abdul Rahman, Kuala Lumpur menjelang beberapa hari sebelum tibanya Aidilfitri sememangnya perkara biasa saban tahun.
Ramai yang menggunakan kesempatan berbelanja keperluan Syawal di saat akhir, sementara tidak kurang pula sekadar melepak dan meninjau suasana.
Namun di sebalik keriuhan itu, ramai si kecil didukung dan dipimpin tangannya oleh sang ibu bapa yang seakan-akan tidak kisah anaknya berhimpit serta bersesak di kawasan seperti itu.
Selain itu, ada juga kelihatan ibu muda menggendong bayinya yang jelas baru berusia beberapa bulan.
Kelaziman sama boleh dilihat di pasar raya yang masa operasinya berakhir lewat malam. Beberapa kali berlaku insiden si ibu dan bapa dengan selamba memilih barang ketika anak kecilnya meraung di dalam troli.
Apabila ada banyak mata yang memandang, sekali lagi dengan selamba si ibu bapa ini mengatakan anak kecil mereka meraung kerana letih dan mula melayan mata untuk tidur.
Sejak kebelakangan ini, makin ramai ibu bapa khususnya pasangan muda tidak menghiraukan masa tidur anak mereka lalu tanpa rasa kasihan membawa sekali si kecil keluar rumah walaupun jelas kelihatan mereka keletihan.
Ia sama sekali situasi berbeza yang berlaku 10 hingga 20 tahun lalu. Dulu golongan tua sering menegah membawa bayi dan kanak-kanak keluar rumah selepas waktu Maghrib, bimbang diserang selesema serta diganggu perkara tidak sepatutnya.
Ada rakan penulis yang sengaja membawa anak kecilnya berusia empat tahun ke pasar raya pada lewat malam.
Alasannya memudahkan anak itu tidur kelak sejurus tiba di rumah kerana penat berjalan.
Ada juga yang memberi alasan tiada siapa yang dapat menjaga anaknya apabila dia perlu keluar membeli-belah pada waktu malam.
Bagaimanapun, perlukah keluar berbelanja pada waktu malam sedangkan ia boleh dilakukan ketika siang?
Bebanan kerja pada waktu siang diletakkan sebagai alasan utama, justeru keluar pada waktu malam bersama si kecil mula menjadi tabiat keluarga.
Ia tabiat yang sama sekali berbeza di negara maju. Misalnya di Jepun dan Korea Selatan, ibu bapa memastikan anak kecil mereka tidur selewat-lewatnya jam 9 malam sementara yang lebih dewasa sekitar 10 ke 11 malam.
Ibu bapa di negara itu juga tidak membawa anak mereka keluar membeli-belah pada hari sekolah atau kerja dan hanya melakukan aktiviti keluarga pada hujung minggu.
Jelas Pakar Runding Pembedahan Telinga, Hidung dan Tekak, Kepala dan Leher, Pusat Perubatan Tropicana Dr Mallina Sivarajasingam, kecenderungan ibu bapa moden membawa anak keluar hingga lewat malam boleh mengakibatkan si kecil mengalami gangguan pola tidur yang boleh menyebabkan pertumbuhan minda dan fizikalnya tidak berkembang dengan baik.
“Selain makanan, tidur juga menjadi sumber tenaga kepada manusia. Bagi golongan dewasa, tidur antara tujuh ke lapan jam sehari amat penting untuk memastikan tubuh mendapat rehat secukupnya.
“Namun bayi dan kanak-kanak di bawah usia prasekolah perlukan tidur sekurang-kurangnya sembilan ke 12 jam sehari.
“Tempoh ini amat penting untuk proses tumbesaran mereka, di samping membantu ibu bapa mendisiplinkan anak dengan menepati masa tidur yang sepatutnya.
“Tetapi ramai ibu bapa moden pandang ringan mengenai perkara ini. Membiarkan anak tidur lambat akan membuatkan mereka bertambah penat keesokannya, sekali gus ibu bapa sukar untuk mengendalikan si kecil apabila berlaku perubahan emosi atau mula meragam.
“Tabiat tidur lewat dalam kalangan si kecil ini mungkin dilihat bukanlah isu besar bagi ibu bapa.
“Bagaimanapun, perlu diingat tindakan yang kecil dan hanya sesekali dilakukan boleh membawa kemudaratan lebih besar pada masa akan datang.
“Justeru, digesa ibu bapa memahami keperluan dan kepentingan tidur untuk perkembangan positif anak mereka.
“Ibu bapa perlu faham kebaikan yang diperoleh daripada tidur yang cukup dan apa yang akan berlaku jika anak tidak mendapat tidur yang berkualiti,” katanya.
Tempoh tidur ikut usia
Tambah Dr Mallina, bayi dan kanak-kanak memerlukan tempoh tidur tertentu mengikut usianya. Bagi yang baru lahir sehingga berusia tiga bulan lazimnya memerlukan tidur antara 10 ke 16 jam sehari.
“Ia perkara biasa bagi bayi baru lahir. Tempoh tidur mereka bagaimanapun kadangkala hanya beberapa minit sebelum disambung kepada beberapa jam.
“Ketika tidur, bayi selalunya aktif dalam pergerakan. Kita biasa lihat bayi menggerakkan tangan dan kakinya serta tersenyum tiba-tiba walaupun masih tidur.
“Pakar kanak-kanak lazimnya mengesyorkan ibu mengurangkan tempoh tidur bayi pada waktu siang dengan mendedahkan mereka kepada cahaya dan bunyi, atau kerap bermain dengan bayi.
“Kemudian dodoikan bayi pada lewat petang dan pastikan suasana sekitarnya senyap serta kurang aktiviti,” ujarnya.
Perkara sama juga perlu dilakukan kepada bayi berusia empat hingga 11 bulan meskipun bayi dalam usia ini secara tipikalnya memerlukan tidur antara sembilan ke 12 jam sehari.
Sedikit perubahan perlu dilakukan apabila anak mula mencecah usia setahun. Kanak-kanak berusia satu hingga dua tahun perlu diajar mengamalkan tidur seketika pada waktu siang sekurang-kurangnya selama sejam.
Tidur seketika ini bagaimanapun perlu dielakkan pada waktu hampir dengan masa tidur, biasanya pada waktu petang, kerana ia hanya akan menyukarkan kanak-kanak terbabit tidur awal pada waktu malam.
Tabiat tidur yang hampir sama diteruskan apabila usia kanak-kanak menjengah tiga ke lima tahun.
Fasa yang dikenali sebagai prasekolah ini menjadi tempoh mencabar bagi ibu bapa berikutan si anak mula aktif dan sukar dikawal.
“Kanak-kanak pada usia ini biasanya sukar tidur awal kerana ingin sama menyertai aktiviti yang dilakukan ahli keluarga.
“Lazimnya mereka berusaha menahan rasa mengantuk kerana tidak mahu ketinggalan. Akibatnya berlaku rembesan hormon seperti adrenalin yang kemudiannya membuatkan si kecil menjadi terlalu aktif.
“Si kecil mula berjaga hingga lewat malam dan nampak seperti biasa tetapi sebenarnya diri serta mindanya keletihan.
“Menangis, cerewet, meragam, cepat marah dan mudah tersinggung seterusnya menyusul hingga akhirnya ibu bapa mengambil masa lama untuk menenangkan si kecil.
“Jadi, mengajar anak kecil ini tidur awal adalah jawapannya. Kadangkala tidur 15 minit lebih awal berbanding biasa berupaya memberi impak positif kepada kanak-kanak itu.
“Apa pun, kuncinya ada pada ibu bapa. Ibu bapa terlebih dulu perlu berdisiplin dalam hal ini sebelum ia dilaksanakan ke atas anak masing-masing,” katanya lagi.
Tip tidur untuk bayi berusia satu hingga dua bulan
• Perhatikan corak tidur bayi dan kenal pasti tanda mengantuk.
• Letakkan bayi dalam buaian ketika mula mengantuk dan bukannya selepas tidur.
• Baringkan bayi dengan muka dan kepalanya bebas daripada gangguan selimut atau bantal.
• Galakkan bayi tidur pada waktu malam
Tip tidur untuk bayi berusia tiga hingga 12 bulan
• Atur jadual tidur siang dan malam.
• Amalkan rutin yang konsisten dan menyeronokkan bagi membolehkan mereka tidur lena pada waktu malam.
• Wujudkan suasana persekitaran yang ‘mesra tidur’, misalnya mengurangkan kecerahan lampu dan mengurangkan bunyi-bunyian.
• Galakkan bayi tidur dengan sendiri.
Tip tidur untuk kanak-kanak berusia satu hingga tiga tahun
• Kekalkan jadual tidur harian dan rutin tidur yang konsisten.
• Menjadikan persekitaran bilik tidur yang sama setiap malam.
• Tegas dalam menetapkan had konsisten agar mudah difahami kanak-kanak.
• Galakkan penggunaan objek permainan lembut seperti patung haiwan dan selimut sebelum tidur.
• Galakkan anak minum susu sebelum tidur.
Tip tidur untuk kanak-kanak prasekolah
• Kekalkan jadual tidur yang konsisten.
• Lakukan aktiviti rutin yang bersifat santai sebelum tidur dalam bilik anak (misalnya membaca buku cerita atau mengemas beg sekolah).
• Tetapkan masa menonton televisyen atau bermain komputer sebelum jam 9 malam.
Tip tidur kanak-kanak sekolah rendah
• Disiplinkan anak mengenai tabiat tidur yang betul.
• Teruskan dengan jadual, rutin dan had tidur yang ditetapkan sebelum ini.
• Pastikan bilik tidur anak dalam keadaan kondusif.
• Elakkan anak mengambil makanan berat sekurang-kurangnya tiga hingga empat jam sebelum waktu tidur.
• Elakkan anak mengambil minuman berkafein seperti kopi atau minuman berkarbonat sebelum tidur.
Sumber : Mymetro
loading...
0 Response to "JangAn Terlalu Seronok Untuk Bawa Bayi Keluar Rumah !! Si ibu dan bapa seronok Enjoy tapi ini Kesan Buruk yang Bakal Berlaku pada Anak Anda !!"
Post a Comment